[#DOTA2] Team SMG ditunjukkan jalan keluar oleh pasukan senegara, Galaxy Racer selepas tewas 0-2 dalam saingan kelayakan tertutup DPC 2021 lewat petang tadi.
Pasukan yang diketuai oleh pemain veteran, Chai “Mushi” Yee Fung itu telah menunjukkan prestasi yang longlai sejak hari pertama kelayakan lagi.
Tewas mudah 2-0 kepada pasukan dari Vietnam, 496 Gaming rata-rata peminat mengharapkan kebangkitan dapat dilakukan oleh mereka pada hari ini.
Namun jangkaan itu agak meleset kerana Team SMG sekali lagi dijinakkan mudah dan kali ini ditangan seteru tempatan mereka, Galaxy Racer yang diterajui oleh bekas rakan sepasukannya sendiri, Adam “343” Shah.
Perlawanan pertama bermula rancak tetapi semuanya berubah pada minit ke-30 selepas Daniel “Ghost” Chan yang menggunakan Troll Warlord berjaya menyiapkan Abyssal Blade.
Kekal tanpa kematian, beliau berhasil menjatuhkan hero lawan satu persatu dan akhirnya berjaya merobohkan Ancient milik Team SMG untuk mengutip mata yang pertama.
Bersambung ke perlawanan kedua, Team SMG meletakkan Night Stalker di jalur tengah berhadapan dengan Queen of Pain.
Aksi berbalas serangan dipertontonkan sehinggalah pada minit ke-33, mereka disapu bersih oleh Galaxy Racer dalam satu pertembungan yang kurang kemas.
Bermula dari situ, pasukan lawan terus mendominasi peta dan sekali lagi memenangi perlawanan yang berakhir dalam masa 52 minit.
Kekalahan ini juga merupakan yang pertama buat skuad Mushi kepada Galaxy Racer sepanjang pertembungan mereka termasuklah ketika bersama IO Esports.
Team SMG masih mempunyai peluang ke Liga Divisyen 2 DPC 2021 namun mereka harus melepasi kelayakan tertutup kedua yang bermula 8 Januari ini.
Sumber: PGL
#SMG #GXR #DPC2021
Jangan lupa support page Sentrum.MY untuk info terkini dan juga content menarik!